May 30, 2020
PERMINTAAN DAN BEKALAN DI MUSIM COVID-19 – HARGA PATUT ATAU HARGA MAKSIMA?

Dr Az Abdullah

Economic Adviser LeadUS

Harga ayam dilaporkan naik sebelum kerajaan mengumumkan ianya sebagai barangan terkawal dalam SHMMP 2020. Mengikut laporan akhbar pada 16 Mei, harga ayam naik sehingga RM9.60 sekilo sedangkan semasa PKP harganya sekitar RM4.50-RM6.00 sekilo. Pada permulaan wabak covid19, kita juga diberitahu harga untuk pelitup (mask) juga naik dengan mendadak dan bekalan dilaporkan tidak mencukupi. Kini harga pelitup sudah turun sekitar RM60-RM75 sekotak mengandungi 50 keping kerana ianya barang kawalan. Kenapa fenomena ini berlaku? Adakah peniaga tamak atau tidak beretika? Atau sebenarnya ada faktor lain yang mendorong kepada penentuan harga?

Harga ayam dilaporkan naik sebelum kerajaan mengumumkan ianya sebagai barangan terkawal dalam SHMMP 2020.  Mengikut laporan akhbar pada 16 Mei, harga ayam naik sehingga RM9.60 sekilo sedangkan semasa PKP harganya sekitar RM4.50-RM6.00 sekilo.

Pada permulaan wabak covid19, kita juga diberitahu harga untuk pelitup (mask) juga naik dengan mendadak dan bekalan dilaporkan tidak mencukupi. Kini harga pelitup sudah turun sekitar RM60-RM75 sekotak mengandungi 50 keping kerana ianya barang kawalan.

Timbalan Menteri KPDNHEP menyatakan bahawa bekalan ayam lebih dari mencukupi dan menyelar sikap tamak dan tidak beretika segelintir peniaga yang cuba mengambil kesempatan. Wabak covid-19 menambah lagi keperitan yang dihadapi oleh pengguna dengan kenaikan harga barangan pengguna walaupun kos pengangkutan seharusnya sudah jauh  turun dengan turunnya harga petrol dan diesel.

Kenapa fenomena ini berlaku? Adakah peniaga tamak atau tidak beretika? Atau sebenarnya ada faktor lain yang mendorong kepada penentuan harga?

Teori ekonomi menyatakan permintaan dan bekalan boleh mempengaruhi harga supaya pasaran berjalan dengan efisien. Secara logiknya, apabila permintaan di musim perayaan dijangka meningkat, harga akan meningkat. Ini adalah tindakbalas yang biasa dalam pengajian kelas ekonomi asas dan bukan disebabkan faktor tamak atau tidak beretika.

SKIM HARGA MAKSIMA MUSIM PERAYAAN

Harga kawalan yang ditetapkan oleh kerajaan menjadikan pasaran tidak lagi bebas. Kawalan harga sebegini berulang setiap kali musim perayaan atau apabila berlaku krisis.

Kita perhatikan semua peniaga akan menetapkan ayam pada harga maksimum RM7.50 sekilo. Peruncit dan pemborong tentunya mahu memaksimakan keutungan mereka disamping mematuhi arahan kerajaan walaupun harga sebenarnya tidaklah semahal itu.

Kecuali di pasaraya besar yang memiliki ''economy of scale' dan membeli dengan sekala besar dan banyak termasuk untuk cawangan mereka, mungkin boleh menawarkan sedikit di bawah harga maksimum. Tinjauan secara rawak menunjukkan pasaraya besar menawarkan sekitar RM7.10 hingga RM7.30, hanya 3% di bawah harga maksimum. Ini menunjukkan harga di peringkat pemborong jauh lebih rendah dari harga maksimum.

Apa yang dilihat, pihak penguatkuasa KPDNHEP hanya memeriksa di peringkat runcit dan tidak kelihatan pemeriksaan diperingkat borong. Seharusnya sebelum skim ini dijalankan, seluruh rantaian bekalan dikaji dan memastikan pemborong dan bukan peruncit yang hanya mengambil keuntungan berlebihan.

Kita yakin, permintaan di hari perayaan amAidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai tahun ini tidaklah setinggi tahun lepas. Tahun ini tiada balik kampong, tiada ziarah menziarahi dan tiada rumah terbuka yang biasanya berjalan selama sebulan.

Restauran dan rumah makan pun belum banyak yang buka sepenuhnya. Tidak juga hotel yang menawarkan hidangan buffet.

Jadi kenapa harga maksimum ayam standard tahun ini sama dengan tahun lepas? Sepatutnya harga tahun ini boleh rendah dari itu sekurang-kurangnya RM7.00 sekilo.

Menteri dan Timbalan Menteri sentiasa meyakinkan pengguna yang bekalan mencukupi. Kalau bekalan lebih dari cukup dan permintaan tidak terlalu tinggi kenapa harga boleh sama dengan tahun 2019?

HARGA PATUT  

Sebab itu penting kita mempunyai data yang cukup dan setiap keputusan kita dibuat atas dasar data. Kita yakin KPDNHEP mempunyai ramai pegawai yang memantau harga. Harga itu pastinya dikumpulkan dan dicerakin  digunakan untuk menentukan HARGA PATUT untuk rakyat Malaysia.

Sudah tiba masanya Malaysia mengamalkan harga patut bukan harga maksimum. Harga yang berpatutan akan terhasil dengan tingkah laku dan sikap yang rasional dari semua pihak, iaitu  pengeluar, pemborong, orang tengah, peruncit dan pengguna.  

‘Goodwill’ akan terserlah selepas krisis apabila penjual dapat mengekalkan pelanggan mereka. Bahkan ‘khidmat’ yang mereka hulurkan dengan mengenakan harga yang berpatutan akan menjadi buah mulut masyarakat. Amalan ini boleh membantu pihak penjual meningkatkan bilangan pelanggan mereka.  

Sebagai contoh, di dalam kumpulan komunikasi ‘whatsapp’ yang diwujudkan oleh persatuan penduduk, atau komuniti tertentu, harga barangan yang ditawarkan dengan harga berpatutan "diiklankan" oleh ahli kumpulan untuk manfaat bersama.  

Ketika berlaku krisis seperti Covid-19 ini, kita berharap  keperluan untuk menyediakan barangan dan perkhidmatan pada harga yang berpatutan menjadi satu yang mendesak. Peranan kerajaan ialah memaklumkan kepada orang ramai HARGA PATUT (bukan harga maksimum) bagi barangan keperluan.

Mobileapps PriceCatcher boleh dimanfaatkan sebagai platform untuk menyebar-luaskan harga patut ini dan premis mana yang menyokong harga patur ini. Maklumat pasti akan membantu pengguna di dalam membuat keputusan berbelanja.

Kita berharap harga patut menjadi salah satu NORMA BARU pasca covid-19.  Penetapan harga yang berpatutan dapat membantu aktiviti ekonomi, memberi manfaat kepada semua pihak, khasnya rakyat yang terimpak teruk dan di masa yang sama memulihkan ekonomi negara. Ianya akan menjadi realiti apabila semua pihak berperanan di dalam memastikan harga patut terserlah di pasaran.

Dr Az Abdullah

Economic Adviser LeadUS


Read more
You might also be interested in these
ESSAYONHOPE
AN ESSAY ON HOPE

There is hope. Malaysia went close to the precipice but managed to step back. But hope creates expectations. It will take more than just the charm and charisma of the 10th Prime Minister of Malaysia to bring about real transformations. It will take more than euphoria to rebuild a nation that has been scarred by hate politics and religious extremism. Once the euphoria is over and the dust has settled, the real challenges will begin. We must continue to hope, but we, the rakyat, must own the change.
LeaderCafe4
Is Distributed Leadership the Future?

We have to look at the past to discuss whether Distributed Leadership is the future. Specifically, we have to look back at the pivotal work by Burns and Stalker on the notion of organic systems. Their work was published way back in 1961. But like many new ideas, it took time to make its way into mainstream management thinking. It was more than 20 years later that their ideas became a part of the mainstream conversation in management and leadership.
Let’s get involved!

Stay up to date with our newest events and publications, so be sure to stay in touch. Join our community of thinkers like you who know the impact great leaders can have in a community.

Thank you! Your submission has been received!
Oops! Something went wrong while submitting the form.