July 6, 2021
Mengapa Perlu Gaji Minimum?

Mohd Hatta Jauhar, Labor Consultant

Md Hatta Md Jauhar

Senior Labour Consultant

Mengapa perlu gaji minimum? Umumnya pelaksanaan gaji minimum sangat dialu-alukan oleh golongan pekerja khususnya di sektor swasta tetapi dipertikaikan oleh sang majikan. Namun yang penting, apa pendirian dan peranan kerajaan? Jika ia dilaksanakan, apa alasan atau justifikasi yang mampu diungkapkan oleh pemimpin kerajaan? Apakah impaknya ke atas ekonomi? Mampukah peniaga kecil di Baling membayar pembantunya RM1200.00 sebulan seperti dituntut MTUC? Apakah hikmah disebalik dasar gaji minimum ini? 

MTUC atau Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia pernah berdemonstrasi berhampiran bangunan Parlimen dalam tahun 2008 bagi menuntut pelaksanaan gaji minimum RM1200.00sebulan bagi para pekerja di Malaysia. Antara alasan utama tuntutan tersebut ialah faktor kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup. Selaku pejuang nasib pekerja MTUC juga mengungkit sikap majikan yang lebih suka menggaji pekerja asing berbanding pekerja tempatan. Kononnya dengan meletakkan gaji minimum sejumlah RM1200.00 sebulan pada ketika itu boleh menarik minat pekerja tempatan untuk bekerja (di kilang dan ladang) lalu mengurangkan pengambilan pekerja asing. Pada pandangan saya sangkaan ini harus dibuktikan.

Mengapa perlu gaji minimum? Umumnya pelaksanaan gaji minimum sangat dialu-alukan oleh golongan pekerja khususnya di sektor swasta tetapi dipertikaikan oleh sang majikan. Namun yang penting, apa pendirian dan peranan kerajaan? Jika ia dilaksanakan, apa alasan atau justifikasi yang mampu diungkapkan oleh pemimpin kerajaan? Apakah impaknya ke atas ekonomi? Mampukah peniaga kecil di Baling membayar pembantunya RM1200.00 sebulan seperti dituntut MTUC? Apakah hikmah disebalik dasar gaji minimum ini?

Sebenarnya undang-undang berkaitan gaji minimum ini bukanlah perkara baharu. Akta Majlis Penetapan Gaji 1947 telah wujud sejak sekian lama dan bagi tujuan meluaskan dasar gaji minimum ia telah diperbaharui dengan nama Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011. Kuasa di bawah Akta inilah yang membolehkan Perintah Gaji Minimum dikuatkuasakan dari semasa ke semasa. Yang pertama ialah Perintah Gaji Minimum 2012 yang dikuatkuasakan pada 1 Januari 2013. Perintah ini menetapkan gaji minimum pada kadar RM900.00 sebulan di SemenanjungMalaysia, manakala di Sabah dan Sarawak ditetapkan pada kadar RM800.00 sebulan. Setelah beberapa kali mengalami perubahan, yang terkini, Perintah Gaji Minimum 2020 dikuatkuasakan dengan kadar RM1200.00 sebulan bagi kawasan bandar-bandar utama di seluruh negara manakala bagi kawasan-kawasan lain ialah RM1100.00 sebulan. Sayugia diingatkan bahawa gaji minimum itu merujuk kepada gaji pokok sahaja tidak termasuk elaun atau insentif.

Pada pandangan saya dasar gaji minimum harus lebih jelas tujuannya dan dihayati sepenuhnya bukan sahaja oleh majikan tetapi oleh para pekerja. Falsafah di sebalik gaji minimum wajar difahami dengan baik demi pelaksanaan berimpak tinggi. Tidak dinafikan setiap penetapan kadar gaji minimum oleh pihak kerajaan diperhalusi berdasarkan kepada kriteria tertentu iaitu pendapatan garis kemiskinan, gaji penengah, indeks harga pengguna, perubahan produktiviti buruh dan kadar pengangguran. Walau bagaimanapun, pada pandangan saya faktor produktiviti mesti diberi keutamaan. Memang benar majikan disaran agar menitikberatkan kebajikan pekerja tetapi majikan bukanlah badan kebajikan. Pekerja wajib menyumbang menerusi hasil kerja untuk meraih gaji lebih tinggi. Pihak majikan pula harus menstrukturkan kerja dengan tugasan yang diperkaya dan mempunyai nilai tambah. Jangan bazirkan sumber manusia. Sebagai contoh, amalan memberi pengawal keselamatan tugasan khidmat pelanggan adalah langkah yang bijak. Manfaatkan sepenuhnya pengetahuan, kemahiran dan kebolehan pekerja. Jangan biarkan pekerja menganggur di tempat kerja. Buka peluang pekerja memperoleh gaji hasil produktiviti. Tidak mustahil seorang juruwang di restoran dibayar gaji sehingga RM5000.00 sebulan sekiranya terbukti kehadirannya menjadi faktor pelanggan menyerbu lalu melonjakkan jualan restoran mencecah puluhan ribu ringgit sehari. Elakkan sama sekali wujudnya pekerja ibarat melukut di tepi gantang. Hadirnya tidak menambah, tiadanya tidak mengurang.

Saya tertarik dengan kisah pekerja dalam sektor pelancongan di Perth, Australia. Saya dan isteri menempah satu pakej bagi melawat beberapa lokasi menarik di wilayah Australia Barat itu. Tempahan dibuat menerusi mel elektronik sebelum kami bertolak ke sana. Apabila tiba waktu yang dijanjikan van yang membawa kami melancong pun sedia menunggu. Hanya seorang sahaja pekerja yang bertugas untuk perjalanan tersebut. Seorang wanita tempatan. Beliaulah pemandu van, beliau juga bertindak sebagai pemandu pelancong yang berceloteh sepanjang perjalanan, beliaulah yang menguruskan tiket masuk ke zoo dan semua persinggahan kami. Sampai waktu makan tengah hari rupa-rupanya beliau yang membawa bekal dan menyajikan makanan untuk kami. Isteri saya berbisik memberitahu mungkin beliau orang yang sama berkomunikasi semasa tempahan dibuat dari Malaysia. Wah! Tugasan yang biasanya dipikul oleh tiga atau empat orang diselesaikan oleh seorang pekerja sahaja. Ternyata gaji tinggi yang diberi oleh syarikatnya bukanlah atas ihsan peraturan gaji minimum, tetapi hasil kerjanya, kemahiran dan sikapnya. Untuk makluman, gaji minimum diAustralia terkini ialah AUD$20.33 sejam (lebih kurang RM60.00).

Di pihak kerajaan, menerusi Jabatan Perhubungan Perusahaan di bawah Kementerian Sumber Manusia, Sistem Upah Yang Dikaitkan Dengan Produktiviti (PLWS) telah wujud tetapi ia harus dipromosikan dengan lebih agresif seiring dengan dasar gaji minimum. Menurut Laporan Tinjauan Ekonomi 2020 yang dikeluarkan oleh Kementerian kewangan kadar penggunaan PLWS masih rendah dalam kalangan majikan ekoran kurangnya kesedaran. Oleh itu insentif sewajarnya diberi kepada majikan khususnya dalam kalangan peniaga kecil yang bersedia mengubahsuai sistem kerja ke arah meningkatkan produktiviti pekerja.

Para pemimpin kerajaan dan pemimpin kesatuan sekerja pekerja harus berani mengatakan bahawa Malaysia sudah berada dalam era daya pengeluaran buruh yang tinggi. Dan bahawa produktiviti buruhlah yang melonjakkan kadar gaji di negara ini, bukan kerana simpati majikan. Ini harus dibuktikan dengan kualiti pendidikan yang tinggi khususnya dalam aspek kemahiran. Jika kadar gaji minimum tidak seiring dengan hasil kerja lama kelamaan modal majikan akan terhakis dan keuntungan menurun. Pada pandangan saya majikan harus tegas dan mengambil tanggungjawab mengemudi prestasi pekerja ke arah menjadi lebih produktif. Majikan tidak harus bimbang dengan kadar gaji minimum sekiranya yakin dengan kebolehan pekerja yang ia pilih sendiri sesuai dengan sistem kerja  yang direkabentuk bagi menyerlah potensi insan. Mengapa perlu gaji minimum? Jawapannya untuk memaksa majikan menyediakan bidang tugas yang diperkaya dan bernilai tinggi sehingga berbaloi seseorang itu dibayar gaji minimum yang tinggi.

Md Hatta Md Jauhar
Pakar Buruh Antarabangsa

Read more
You might also be interested in these
ESSAYONHOPE
AN ESSAY ON HOPE

There is hope. Malaysia went close to the precipice but managed to step back. But hope creates expectations. It will take more than just the charm and charisma of the 10th Prime Minister of Malaysia to bring about real transformations. It will take more than euphoria to rebuild a nation that has been scarred by hate politics and religious extremism. Once the euphoria is over and the dust has settled, the real challenges will begin. We must continue to hope, but we, the rakyat, must own the change.
LeaderCafe4
Is Distributed Leadership the Future?

We have to look at the past to discuss whether Distributed Leadership is the future. Specifically, we have to look back at the pivotal work by Burns and Stalker on the notion of organic systems. Their work was published way back in 1961. But like many new ideas, it took time to make its way into mainstream management thinking. It was more than 20 years later that their ideas became a part of the mainstream conversation in management and leadership.
Let’s get involved!

Stay up to date with our newest events and publications, so be sure to stay in touch. Join our community of thinkers like you who know the impact great leaders can have in a community.

Thank you! Your submission has been received!
Oops! Something went wrong while submitting the form.